Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Norafidah Assan
Title :Isu kemasukan universiti perlu selesai secara adil - Nik Nazmi
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :17 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SHAH ALAM – Isu kemasukan universiti awam perlu ditangani dengan jelas, berhemah dan berteraskan keadilan tanpa mengorbankan peluang pelajar cemerlang yang layak. Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kontroversi yang berulang setiap tahun berhubung kemasukan pelajar bukan sahaja mengecewakan ramai anak muda, malah boleh menjejaskan usaha negara mengekalkan bakat terbaik. “Fokus kita haruslah menegakkan dua keutamaan yang bergerak seiring, iaitu mendorong kesaksamaan melalui tindakan afirmatif dan mengekalkan meritokrasi sebagai tonggak kecemerlangan. “Kekecewaan pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat dalam program pilihan atau langsung tidak diterima masuk ke universiti awam adalah isu nyata yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Nik Nazmi menambah, meskipun pihak berkenaan telah memberikan penjelasan mengenai jumlah tempat terhad dan kedudukan relatif pemohon, masalah sebenar adalah lebih besar kerana ia berulang saban tahun. “Penjelasan pentadbiran tidak akan mengubati kekecewaan anak muda Malaysia yang terpaksa menangguhkan atau mengorbankan impian mereka. Kita perlukan reformasi menyeluruh, bukan alasan,” katanya. Beliau menjelaskan, antara punca utama isu berkenaan ialah sistem kemasukan universiti yang terpecah apabila laluan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Matrikulasi masih berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), bukannya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Katanya, kerajaan wajar menyegerakan cadangan menyatukan kedua-dua laluan tersebut di bawah KPT supaya lebih selari dengan keperluan institusi pengajian tinggi serta pelajar.  “Langkah ini boleh membuka jalan kepada pembentukan satu sistem tunggal kemasukan universiti yang telus, adil dan bertanggungjawab,” ujarnya. Nik Nazmi turut menekankan bahawa peningkatan prestasi pelajar sekolah mesti disusuli dengan peluang melanjutkan pengajian yang adil agar keyakinan generasi muda terhadap institusi negara tidak terhakis. Beliau juga mencadangkan supaya diwujudkan proses telus bagi membolehkan pelajar dan ibu bapa menilai peluang kemasukan berdasarkan keputusan yang diperoleh serta difahami secara jelas. “Kita tidak ada lagi ruang untuk alasan atau sikap bertangguh. Waktunya telah tiba untuk melaksanakan reformasi struktur yang berani demi masa depan generasi muda Malaysia,” katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035