Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Abdul Razak Raaff
Title :Pahang Ultra 2025 tarik minat 2,000 pelari termasuk dari 13 negara
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :3 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
TEMERLOH: Pahang Ultra 2025 edisi ketiga yang akan berlangsung di Dewan Imam Perang Teh, Sanggang, di sini, pada Sabtu dan Ahad ini, menarik penyertaan 2,000 pelari termasuk dari 13 negara. Pengarah Perlumbaan Pahang Ultra 2025, Zulkafly Ramly, berkata antara peserta luar negara yang menyertai acara larian ultra itu ialah Singapura, Vietnam, Filipina, Jepun, China, Thailand, Sweden, Algeria, Australia, Jerman, Indonesia, Ireland dan Amerika Syarikat (AS). Beliau berkata, pelari ultra antarabangsa akan bersaing dengan pelari tempatan dalam pelbagai kategori larian iaitu 100 kilometer (KM), 50KM, 30KM, 8KM dan 5KM. Bagi edisi kali ini, katanya, lebih 250 pelari ultra menyertai kategori 100KM, 50KM (150), 30KM (300), 8KM (400) dan lebih 1,000 bagi jarak 5KM. "Jumlah pelari ultra sertai edisi ketiga tahun ini meningkat sejak diperkenalkan pada 2023 bermula dengan 650 peserta, manakala edisi kedua (1,680 peserta). "Kita juga menjangkakan saingan edisi tahun ini agak sengit kerana juara sebelum ini daripada edisi pertama turut serta bersama-sama pelari elit dan antarabangsa. "Edisi kali ini lebih istimewa kerana bagi kategori 5Km dan 8KM, peserta digalakkan memakai pakaian busana tradisional masyarakat Pahang sekali gus bagi mempromosi warisan budaya Malaysia. "Pahang Ultra 2025 yang dimasukkan dalam kalender pelancongan Tourism Pahang menerima sokongan padu daripada penaja utama, Isuzu Malaysia, yang kini memasuki tahun ketiga sebagai rakan strategik utama penganjur (Team TheBongcit). "Pada masa sama, kami turut bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang akan melancarkan Senam Seni 2.0 Peringkat Negeri Pahang di Sabtu ini," katanya di sini, hari ini. Zulkafly berkata, kerjasama julung kali itu akan bermula jam 7 pagi hingga 11.00 dan akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man. Senam Seni 2.0 adalah inisiatif memartabatkan warisan seni budaya tradisional melalui penggabungan gerakan senaman kecergasan dan elemen tari pelbagai kaum di Malaysia. Program ini adalah hasil pemurnian daripada Senam Seni 1 Malaysia yang diperkenalkan pada 2008 oleh JKKN dengan tujuan memupuk minat masyarakat terhadap seni budaya dan menggalakkan gaya hidup sihat. Gerakan Senam Seni 2.0 mengambil masa 18 minit yang diiringi muzik dari rentak pelbagai kaum di Malaysia merangkumi fasa pemanasan badan, aktiviti kardiovaskular dan penyejukan badan yang membabitkan 70 peratus unsur kecergasan dan 30 peratus unsur seni budaya. Program ini turut menerima pengiktirafan dari Persatuan Sukan Kecergasan alaysia (MAFA) sebagai senaman yang memenuhi piawaian gerakan kecergasan dan telah didaftarkan sebagai harta intelek melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Selain itu, Zulkafly berkata, sebanyak tiga kambing disediakan untuk hadiah cabutan bertuah kepada peserta kategori 5KM dan 8KM. Beliau berkata, acara Pahang Ultra 2025 bukan sahaja bertujuan mencabar ketahanan diri dan fizikal, tetapi turut memperkasakan semangat kebudayaan, pelancongan tempatan dan komuniti desa. "Pahang Ultra 2025 adalah lebih daripada sekadar acara sukan. Ia adalah wadah untuk kita meraikan budaya, mempromosikan keindahan Pahang, dan memupuk perpaduan dalam kalangan peserta dari pelbagai latar belakang – sambil mengekalkan gaya hidup sihat," katanya. Acara tahun ini juga akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk persembahan kebudayaan, pameran vendor, gerai makanan tempatan, serta kit penyertaan eksklusif yang mengandungi jersi khas, pingat, dan kejutan istimewa daripada penaja. "Peserta dan pengunjung boleh menjangkakan suasana karnival komuniti dengan sentuhan tradisional yang menggamit nostalgia serta semangat kekitaan yang luar biasa," katanya. Turut bersama memeriahkan dan menyokong acara Pahang Ultra 2025 kali ini adalah barisan penaja lain termasuk Umar Sunglasses, Kopi Bawah Tangga, Kampungstay Desa Murni, N8, VandaTempe, Medgel, Butik Pato, TY Ultra, Ysandal, Sambal Hitam.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035