|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Peningkatan kadar saliniti atau kemasinan secara mendadak kerana fenomena air pasang besar sehingga menyebabkan air laut melimpah ke tasik di Taman Gelora, di sini, menjadi punca ribuan ikan mati sejak Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan, berkata hasil ujian makmal dilakukan Pusat Biosekuriti Perikanan Kuantan diperoleh hari ini juga mengesahkan tasik itu bebas pencemaran bahan kimia atau racun.
Beliau berkata, sebaik memperoleh laporan mengenai kejadian itu, jabatan berkenaan mengambil sampel air tasik terbabit semalam untuk ujian makmal.
"Hasil ujian mendapati tahap saliniti dan jumlah pepejal terlarut menunjukkan ciri-ciri air payau akibat campuran air laut.
"Hasil siasatan terbaharu juga mendapati paras oksigen terlarut di tasik itu berada pada tahap normal dan sesuai untuk hidupan akuatik.
"Selain itu, bacaan kealkalian (pH) juga adalah neutral, sekali gus menolak kemungkinan air tasik dicemari racun atau bahan kimia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Roslan berkata, ketika fenomena air pasang besar juga menyebabkan ikan laut memasuki tasik itu.
Pelbagai spesies ikan dan saiz di tasik di taman rekreasi itu ditemui mati sejak kelmarin.
Antara spesies ikan hidup dan membiak di tasik di Taman Gelora ialah ikan susu, tilapia, kapas dan siakap merah. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |