|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| PEKAN: Gandingan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, Kuantan menjuarai Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI (MSSCC) 2025 peringkat negeri di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, di sini semalam.
Nur Ashafini Shaiful Adli dan Maya Ainesya Mahayuddin memperoleh kemenangan itu menerusi menu masakan Ikan Patin Masam Manis Walinong Sari yang diinspirasikan daripada ikan patin sebagai ikan simbolik Pahang dan Walinong Sari, puteri legenda Pahang.
Kejayaan diraih Nur Ashafini, 16, dan Maya Ainesya, 16, itu sekali gus membolehkan mereka mewakili Pahang ke Grand Finale MSSCC 2025 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
Selaku juara, mereka berdua membawa pulang hadiah sebanyak RM400 selain pingat dan sijil. Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat dan mengurniakan hadiah kepada pemenang.
Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Pada pertandingan anjuran syarikat Maggi Malaysia dan Kementerian Pendidikan itu, Tunku Azizah turut mempersembahkan demonstrasi masakan.
Sementara itu, pasukan pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan, Muhammad Akmal Danial Mohd Arman dan Muhammad Rayyan Danial Mohammad Razazilah meraih tempat kedua untuk membawa pulang hadiah RM300 (peserta dan sekolah).
Tempat ketiga pula milik gandingan SMK Tok Sira, Rafeeq Hilman Mohd Riduan dan Muhammad Sollehin Sabri untuk menerima RM200 (sekolah dan peserta).
Ketika ditemui di majlis itu, Nur Ashafini berkata kejayaan mereka itu sememangnya tidak dijangkakan berikutan bersaing dengan ramai peserta hebat dari seluruh Pahang.
"Kami teruja apabila diumumkan sebagai juara dan berjanji akan melakukan yang terbaik pada Grand Finale MSSCC 2025 di Kuala Lumpur nanti.
"Pengalaman pertama menyertai pertandingan ini memberi kami lebih keyakinan dan menyediakan menu masakan yang lebih sedap dengan menggunakan produk Maggi.
"Kami akan meningkatkan lagi kualiti masakan dan lebih bersedia untuk bersaing dengan peserta dari seluruh negara," katanya.
Sementara itu, guru pengiring SMK Pandan, Noraen Zaini berkata, kejayaan itu diharap diteruskan pada pusingan final di ibu negara nanti.
Katanya, pertandingan itu memberikan banyak manfaat kepada pelajar terutama dalam kemahiran memasak.
"Sebagai guru, saya akan memberikan sokongan dan bimbingan untuk memastikan mereka dapat meraih kejayaan pada grand final nanti," katanya.
Dalam pada itu, pelajar Tingkatan Tiga SMK Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands, Esmond Choy berasa bertuah apabila terpilih menyertai pertandingan itu.
"Ia pengalaman baharu saya bersama rakan (Nik NurQistina Batrisya Joharri) terutama membabitkan penyertaan pelajar dari seluruh Pahang," katanya.
Bagi Nik Nur Qistina pula, pertandingan itu membantu mereka menguruskan masa dengan baik seperti ditetapkan penganjur selain mencuba menu serta kemahiran mengendalikan makanan.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Cheh, berkata MSSCC membuktikan kepakaran kulinari Malaysia tiada batasan.
"Dari Pantai Timur hingga ke Pantai Barat, chef muda berkongsi warisan, saling belajar dan menyatukan semangat bersama menerusi keenakan makanan.
"Kami berbangga dapat menyediakan pentas untuk mereka menyerlahkan kreativiti, warisan dan kesungguhan untuk menyediakan makanan yang berkualiti, seimbang dan berasaskan kekayaan budaya masing-masing.
"Menerusi MSSCC, kami berhasrat untuk memupuk generasi akan datang bukan sahaja mahir dari segi praktikal tetapi juga yakin dan bersemangat untuk terus berkembang, lebih daripada sekadar meraih kemenangan.
"Bersama barisan mentor yang komited, kami menggalakkan pelajar membina hubungan positif dengan makanan melalui penerokaan dan inovasi, sambil memastikan pengalaman memasak kekal menyeronokkan dan seimbang," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |