Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Syajaratulhuda Mohd Rosli
Title :CDR USM ungguli penyelidikan ketum serantau
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :23 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
GEORGE TOWN - Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan (CDR), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memacu agenda penyelidikan strategik dan berimpak tinggi, khususnya dalam bidang ketum atau nama saintifiknya, Mitragyna Speciosa) dengan status sebagai Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (HICoE). CDR USM merupakan pusat penyelidikan terkemuka yang sekian lama menjalankan kajian ketum, dengan lebih 150 penerbitan ilmiah diterbitkan setakat ini, antara tertinggi di dunia. Pengarah CDR USM, Profesor Dr M Vikneswaran berkata, kajian ketum bermula sekitar 2009 dan berkembang melalui pendekatan rentas disiplin yang merangkumi farmakologi, toksikologi, kimia analisis, sains klinikal, dasar kesihatan dan sains sosial. “Kami bersedia membuka peluang kolaborasi dengan pelbagai pihak, khususnya dalam memperkasa hubungan akademia, industri dan pembuat dasar bagi mengurangkan jurang sedia ada. "CDR USM sentiasa bersedia menjadi rujukan dalam sebarang isu berkaitan ketum,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penganjuran Kratom Updates 2025 yang dianjurkan bersama Badan Riset dan Inovasi Nasional, Indonesia dan Prince of Songkla University, Thailand. Menurutnya, persidangan yang dianjurkan buat kali kedua itu menyediakan platform saintifik untuk saintis Malaysia, Thailand dan Indonesia berkongsi penemuan terkini serta memperkukuh kerjasama penyelidikan ketum. "Persidangan akan berlangsung selama dua hari di Bali, Indonesia pada Oktober depan dengan penyertaan kira-kira 70 peserta," katanya. Vikneswaran menambah, dengan pendekatan penyelidikan holistik dan rentas bidang, CDR USM mempunyai rekod cemerlang dengan pandangan saintifik yang komprehensif. CDR USM juga diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai perintis utama dalam kajian ketum di rantau ini dan menerima pelbagai geran tempatan serta antarabangsa. "Pusat yang ditubuhkan pada 1978 itu turut memperkaya ekosistem ilmu melalui penerbitan berwasit, pemindahan teknologi serta penggubalan cadangan berasaskan bukti untuk menyokong kerangka peraturan dan intervensi kesihatan awam. “Melalui jaringan kolaborasi tempatan dan antarabangsa serta latihan bakat penyelidikan, CDR USM akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rujukan antarabangsa dalam penyelidikan ketum,” katanya. Tambah beliau, Malaysia berpotensi menjadi pemain utama dalam penyelidikan ketum memandangkan lokasi geografi yang strategik serta biodiversiti semula jadi tumbuhan tersebut. "CDR USM juga berupaya menerajui standard kualiti, kaedah analitik serta garis panduan keselamatan dan klinikal. “Bukti saintifik tempatan dapat menyokong dasar berasaskan data untuk pencegahan risiko, rawatan ketagihan dan potensi aplikasi terapeutik yang selamat. "Kita juga perlu memperkukuh ekosistem R&D bagi menarik kolaborasi global, dana penyelidikan dan pelaburan berimpak tinggi,” ujarnya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035