Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Mohd Rafi Mamat
Title :Pelajar miskin dari PPR kini doktor, tunai janji 6 tahun lalu kepada bapa
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :29 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: "Hampir setiap hari selama enam tahun, saya memendam cita-cita untuk menjadi doktor perubatan suatu hari nanti. Hari ini, impian itu menjadi kenyataan." Terharu dengan kejayaan itu, Dr Abdul Manaf Abdul Aziz, 24, bersyukur akhirnya janji beliau pada bapa, Abdul Aziz Osman, pada 2019 kini berjaya ditunaikan tanpa membebankan keluarga, berkat sokongan dan bantuan pelbagai pihak. Anak ketiga daripada lima beradik itu sekali gus menzahirkan penghargaan kerana tanpa sokongan dan bantuan pihak yang prihatin terhadap nasibnya membesar tanpa ibu, tidak mungkin beliau mampu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan. "Saya bersyukur kerana Allah SWT memakbulkan doa saya selama ini untuk menjadi doktor bagi membantu memberi rawatan kepada pesakit. Kepayahan serta cabaran selama enam tahun di UIAM telah berjaya diharungi. "Selepas ini, saya akan mengikuti latihan kedoktoran di hospital selama dua tahun sebelum bertugas sebagai pegawai perubatan bertauliah," katanya.   Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Angkat Sumpah Doktor Perubatan Kulliyyah Perubatan UIAM Kampus Kuantan di sini, kelmarin, yang meraikan 131 graduan Kulliyyah Perubatan UIAM. Enam tahun lalu, media melaporkan kisah beliau sebagai pelajar miskin yang menetap bersama keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Temai, Pekan, meraih keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun impiannya untuk melanjutkan pelajaran hampir tidak menjadi kenyataan atas faktor kesempitan hidup ketika itu. Namun dengan bantuan pelbagai pihak, termasuk Kementerian Pendidikan, Kerajaan Pahang, Yayasan Bank Rakyat dan Tabung Penyayang UIAM, beliau akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran ke UIAM sehinggalah menamatkan pengajian sebagai seorang doktor perubatan. Sambil mengaku terasa seolah-olah bermimpi apabila bergelar doktor, Dr Abdul Manaf berkata, impiannya selepas ini ialah menyambung pengajian ke peringkat doktor pakar serta membantu keluarga yang telah banyak memberi sokongan. Lebih membanggakan, beliau yang juga ketua graduan berjaya lulus dengan cemerlang dan meraih Anugerah Pelajar Terbaik dalam kalangan penuntut Kulliyyah Perubatan. "Saya bersyukur, detik manis ini dapat dikongsi bersama ayah dan kakak (Ramlah). Mereka adalah insan yang menjadi pembakar semangat saya untuk berjaya dalam pelajaran dan seterusnya bergelar seorang doktor. "Saya kini tidak sabar untuk berkhidmat di hospital kerajaan di daerah ini walaupun hanya berstatus sebagai doktor pelatih," katanya sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu beliau. Sementara itu rakan baiknya, Dr Nur Affisa Emalin Mohd Roshanaffi, 23, yang menerima Anugerah Tahir Azhar pula berkata beliau dan Dr Abdul Manaf berkawan sejak sama-sama belajar di Kulliyyah Perubatan. "Kami saling berbincang dan bertukar pendapat dalam pelajaran. Saya bercita-cita untuk menjadi doktor pakar sakit puan, suatu hari nanti," katanya yang berasal dari Pulau Pinang.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035