Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Mohd Rafi Mamat
Title :Detik cemas bot karam dilanggar kapal dagang tidak dapat dilupakan
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :6 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
PEKAN: "Saya tidak akan meninggalkan kerjaya sebagai nelayan yang menjadi sumber rezeki keluarga walaupun selepas melalui detik cemas bot dinaiki karam," kata Mohd Rokman Musa, 53. Katanya, pengalaman selama 40 tahun sebagai nelayan bubu membuatkan dia penuh yakin ajal maut ditentukan Allah, dia tidak perlu terlalu memikirkan perkara buruk sepanjang berada di laut sebaliknya bergantung sepenuhnya pada ketentuan Yang Maha Esa. Menurutnya, episod hitam yang hampir meragut nyawa dia dan empat awak-awak selepas bot dinaiki dilanggar kapal dagang Ahad lalu tidak sedikitpun melemahkan semangatnya untuk terus turun ke laut selepas ini. "Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu kami terpaksa menyelamatkan diri dengan berpaut pada tong ikan dan pelampung lebih sejam dalam laut apabila bot kami karam selepas dilanggar kapal dagang kira-kira 18 batu nautika perairan Pekan. "Selepas 30 minit kemalangan bot kami tenggelam bersama pelbagai peralatan perhubungan termasuk 47 bubu, sebelum itu saya sempat menghubungi rakan yang dalam perjalanan untuk menangkap ikan beberapa kilometer dari tempat kejadian.   "Sepanjang berada dalam laut saya tidak putus berdoa mohon Allah selamatkan kami selain berharap tidak berlaku ribut dan angin kencang yang boleh membuatkan laut bergelora," katanya, di sini hari ini. Beliau yang menetap di Kampung Kuala Pahang, di sini berkata, dia tidak pasti bagaimana kapal dagang berkenaan boleh melanggar bot yang mereka naiki sedangkan lampu isyarat dipasang sepanjang perjalanan. Mohd Rokman yang juga tekong bot berkenaan berkata, dia bergantung sepenuhnya pada kerjaya sebagai nelayan bot bubu untuk menyara keluarga. "Kami bekerja satu keluarga apabila empat awak-awak terdiri daripada anak, abang, abang ipar dan adik. "Saya membeli bot berkenaan pada 1983 dengan harapan dapat menambah pendapatan selain menyediakan pekerjaan pada ahli keluarga. Hari ini bot berkenaan karam dan hilang menyebabkan kerugian lebih RM120,000, sebanyak 47 bubu berharga RM350 setiap satu turut musnah. "Sebelum bot kami karam saya mengikat beberapa pelampung sebagai penanda, selepas tiga hari kejadian saya ke lokasi kejadian dan mendapati bot masih ada di situ, namun kelmarin saya sekali lagi ke lokasi dan mendapati bot tiada. "Saya bertanya pada beberapa tekong bot pukat tunda yang mungkin terjumpa bot saya namun mereka tidak bertemunya," katanya yang terpaksa menyediakan RM6,500 membayar upah pasukan menyelam. Tambahnya, dia kini buntu memikirkan bot miliknya yang hilang, untuk mendapatkan bot baharu termasuk pelbagai peralatan lain serta bubu memerlukan perbelanjaan kira-kira RM180,000. Bagi Muhammad Khairul Idlan, 23, selepas lebih lima tahun bekerja sebagai nelayan bersama bapanya, ini kali pertama kemalangan berlaku yang menyebabkan mereka hampir terkorban apabila bot mereka karam. Katanya, ketika air mula masuk dalam bot ayah beberapa kali mengingatkan supaya jangan cemas dan banyak berdoa. Sebelum bot karam kami memakai jaket keselamatan yang disediakan dan bersedia dengan sebarang kemungkinan. "Pengalaman luas ayah sebagai nelayan dapat membantu saya dan awak-awak lain mengawal perasaan cemas, sepanjang terapung dalam laut terlintas juga ancaman ikan jerung. "Kejadian menakutkan Ahad lalu tidak melemahkan semangat saya untuk terus turun ke laut, kerjaya sebagai nelayan tidak mungkin di tinggalkan," katanya yang bersyukur semuanya selamat.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035