Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Mohd Rafi Mamat
Title :Jabatan Perhutanan Pahang beri akses 63 Orang Asli masuk hutan simpan negeri tanpa permit
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :11 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyediakan kad pengenalan diri membenarkan 63 Orang Asli peserta 'Buyback Guarantee' memasuki hutan simpan di negeri ini tanpa permit. Kemudahan yang julung kali diperkenalkan itu bagi memudahkan pemegang kad berkenaan berada dalam hutan simpan dengan tujuan mencari benih pokok balak untuk di semai. Pengarah JPNP, Zainuddin Jamaluddin berkata, jabatan kali pertama memperkenalkan kad sedemikian khusus untuk peserta program 'Buyback Guarantee' di Pekan, Cameron Highlands dan Bentong yang kini terbukti berjaya mengeluarkan beberapa spesies anak pokok balak. Beliau berkata, seramai 63 pemegang kad itu terdiri daripada 30 peserta Kampung Terakit dan Kampung Rening, Cameron Highlands, 23 peserta dari Tasik Chini, Pekan dan 15 peserta Orang Asli Kampung Hulu Chemperoh, Janda Baik, Bentong. Beliau berkata, setiap peserta disediakan tapak semaian terletak dalam kawasan kampung mereka, tanah hitam dan polibeg serta diberi pendedahan teknik menyemai biji benih termasuk kemudahan menjual anak benih kepada jabatan.   "Kad pengenalan ini diberi secara percuma kepada peserta Buyback Guarantee, mereka hanya perlu menunjukkan kad mereka sekiranya anggota penguatkuasa JPNP menahan mereka dalam kawasan hutan simpan. "Peserta Buyback Guarantee boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 sekiranya mereka berada dalam hutan simpan tanpa kad dikeluarkan JPNP," katanya, di sini hari ini. Beliau menambah, sejak Buyback Guarantee diwujudkan pada 2021 kejayaan mengeluarkan pelbagai spesies anak pokok balak seperti Merbau, Keruing, Meranti Tembaga, Merawan, Cengal dan Petai berjaya membantu membekalkan anak pokok berkualiti tinggi sepanjang tahun. Zainuddin berkata, tahun lalu sebanyak 79,718 anak pokok dibekalkan oleh peserta Buyback Guarantee di Tasik Chini dan Cameron Highlands dan dalam tempoh lapan bulan tahun ini sebanyak 20,770 anak pokok dikeluarkan. "Sokongan kerajaan negeri melancarkan lagi program Buyback Guarantee yang menjadi penyumbang utama anak pokok balak untuk projek penghijauan semula hutan," katanya. Sementara itu, Hasam Ismail, 41, berkata dengan adanya kad itu mereka lebih selamat sepanjang berada dalam hutan simpan. "Ia juga seterusnya menaikkan semangat mencari lebih banyak benih pokok balak," katanya yang menetap di Tasik Chini.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035