Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Title :Hampir 2,000 pelari tamatkan larian Pahang Ultra 2025
Faculty :Abdul Razak Raaff
Year of Publication :9 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
TEMERLOH: Cabaran cuaca panas dan laluan berbukit tidak melunturkan semangat peserta Pahang Ultra 2025, apabila lebih 90 peratus daripada 2,000 pelari berjaya menamatkan larian mencabar itu. Acara yang berlangsung pada Sabtu lalu, menyaksikan lima kategori ditawarkan kepada pelari iaitu 5 dan 8 Kilometer (KM), 30KM, 50KM dan 100KM. Pahang Ultra 2025 edisi ketiga yang berlangsung di Dewan Imam Perang Teh, Sanggang, di sini, turut menarik minat pelari dari 13 negara Singapura, Vietnam, Filipina, Jepun, China, Thailand, Sweden, Algeria, Australia, Jerman, Indonesia, Ireland dan Amerika Syarikat (AS). Pengarah Perlumbaan Pahang Ultra 2025, Zulkafly Ramly, berkata peratusan itu menunjukkan kesiapsiagaan pelari untuk berdepan cabaran cuaca panas dan laluan berbukit. "Setiap tahun laluan bagi acara ini berbeza dan bagi tahun ini kita boleh anggap ianya lebih mudah berbanding tahun sebelum ini tetapi pelari tetap berdepan cabaran cuaca panas sehingga 32 darjah celsius. "Daerah Temerloh sememangnya terkenal dengan cuaca panas. Bagaimanapun, penganjur turut menugaskan kru bergerak membawa air batu, minuman dan makanan untuk membantu pelari kekal bertenaga dan dapat meneruskan larian hingga ke garisan penamat. "Kita juga sentiasa pastikan kru di setiap 'check point' seperti di dewan orang ramai dan masjid menyediakan makanan dan minuman mencukupi dan memudahkan pelari berehat seketika. "Malah, paling menarik apabila ada juga penduduk tempatan yang secara sukarela menyediakan makanan dan minuman di depan rumah masing-masing sebagai tanda sokongan dan beri motivasi kepada pelari. "Kita juga mendapat sokongan daripada pelari dari luar Pahang yang membantu pihak penganjur mengedarkan minuman dan makanan ringan kepada pelari dengan kenderaan masing-masing. Ini bermakna acara larian yang sudah masuk edisi ketiga ini mendapatkan sokongan padu masyarakat tempatan," katanya. Pahang Ultra 2025 yang dimasukkan dalam kalender pelancongan Tourism Pahang menerima sokongan padu daripada penaja utama, Isuzu Malaysia, yang kini memasuki tahun ketiga sebagai rakan strategik utama penganjur (Team TheBongcit). Bagi edisi ketiga Pahang Ultra 2025, pelari ultra dari Pahang, Mohd Akmal Mansur mengungguli kategori 100KM lelaki terbuka buat kali ketiga berturut-turut dengan catatan masa 11 jam 56 minit manakala juara 50KM lelaki terbuka ialah Amirul Hasan dengan masa 4 jam 48 minit. Pelari ultra dari Puncak Alam, Selangor, Ahmad Rosdi Zainodin pula mengekalkan kejuaraan bagi kategori 50KM lelaki veteran bagi dua tahun berturut dengan catatan masa 5 jam 43 minit. Nurul Nadia Mohd Zain pula muncul juara kategori 100KM wanita terbuka dengan masa 16 jam 8 minit manakala Nor Aliceza Tukimin (5 jam 58 minit) kategori 50KM wanita terbuka. Acara tahun ini juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk persembahan kebudayaan, pameran vendor, gerai makanan tempatan, serta kit penyertaan eksklusif yang mengandungi jersi khas, pingat, dan kejutan istimewa daripada penaja. Turut bersama memeriahkan dan menyokong acara Pahang Ultra 2025 kali ini adalah barisan penaja lain termasuk Umar Sunglasses, Kopi Bawah Tangga, Kampungstay Desa Murni, N8, VandaTempe, Butik Pato, Ysandal, Sambal Hitam. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi yang kali pertama menyertai Pahang Ultra 2025 kategori 30KM turut mengakui berlari dalam keadaan cuaca panas dan laluan berbukit memberi pengalaman baharu buatnya. Beliau yang berasal dari Yokohama dan mula bertugas di Malaysia April lalu berkata, seramai 14 kakitangan pengurusan Isuzu dari ibu pejabat dan cawangan Temerloh menyertai acara itu tahun ini. "Memang mencabar tetapi bagi saya laluan ini beri pengalaman baharu dan saya seronok dapat menikmati pemandangan menarik seperti kebun getah, ladang kelapa sawit, sungai dan suasana kampung. "Makanan dan minuman di setiap 'check point' juga banyak dan membantu pelari untuk mengembalikan tenaga dan berlari semula" katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035