|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Kecerdasan buatan (AI) antara cabaran utama yang bakal dihadapi umat Islam sekiranya ia tidak dapat dikawal sepenuhnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Katanya, antara isunya adalah membabitkan etika penggunaan data dan keselamatan maklumat selain krisis identiti dan akidah akibat manipulasi suara, wajah, dan realiti maya.
"Penyebaran maklumat palsu berpotensi mengelirukan masyarakat termasuk terhadap ajaran Islam. Oleh itu, jika tidak dikawal, teknologi (AI) boleh menjadi alat yang meruntuhkan kepercayaan, bukannya mengukuhkannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Persidangan Antarabangsa Mengenai Tamadun dan Sains Kemanusiaan (i-CONSCIENCE 2025) di sini hari ini.
Program selama dua hari itu membabitkan 200 peserta dari dalam dan luar negara bertujuan membincangkan isu berkaitan hubungan teknologi dengan nilai kemanusiaan, khususnya cabaran etika, budaya dan masyarakat dalam era AI.
Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof Dr Yatimah Alias.
Dalam menghadapi cabaran itu, Mohd Na'im berkata, pihak berkuasa agama Islam perlu menggubal garis panduan syariah bagi penggunaan AI.
Katanya, pada masa sama mereka perlu memperkasa kesedaran digital umat Islam dengan kefahaman agama selain memperkukuh kerjasama antara institusi agama, universiti, pusat penyelidikan dan kerajaan.
"Dengan kerjasama ini, teknologi baharu bukan sekadar pemacu ekonomi tetapi juga medan dakwah, tarbiah dan pengukuhan islam.
"Saya yakin hasil perbincangan sepanjang persidangan ini akan menyumbang kepada perumusan dasar lebih berimbang antara kemajuan teknologi dan pemeliharaan nilai kemanusiaan serta menitikberatkan kesucian agama," katanya.
Sementara itu, Dr Yatimah berkata, penganjuran i-CONSCIENCE 2025 membuktikan komitmen universiti dalam memperkukuh keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai kemanusiaan.
"Sebagai universiti teknikal, UMPSA bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi, malah insan yang beretika, manusiawi serta menyumbang kepada kemajuan sejagat," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |