Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Fazli Ahmad
Title :Pusat latihan JAKOA Paya Bungor tawar belia Orang Asli kursus TVET -Ahmad Zahid
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :9 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Paya Bungor, di sini, menyediakan kursus pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk belia Orang Asli. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pusat latihan berwajah baharu selepas siap dinaik taraf dengan kos RM30 juta, dan mula beroperasi pada September tahun lalu, menawarkan latihan berteraskan kemahiran untuk melahirkan belia Orang Asli cekap dan berdaya saing. Beliau berkata, kursus yang akan ditawarkan di pusat berkenaan memberi fokus terhadap bidang strategik dan diperlukan industri kini. "Pusat Latihan ini juga sudah mendapat pengiktirafan sebagai pusat bertauliah Pusat di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran. Menerusi pengiktirafan itu belia Orang Asli bakal memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3. "Kumpulan pertama mengikuti kursus kemahiran di pusat itu ialah pada penghujung tahun ini," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Pusat Latihan JAKOA Paya Bungor di sini, hari ini. Majlis perasmian disempurnakan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Pusat latihan itu mula beroperasi pada 11 Sept 1969 sebagai pusat ilmu dan kemahiran untuk masyarakat Orang Asli. Selepas dinaik taraf, ia kini dilengkapi fasiliti moden termasuk bilik kuliah, bengkel jahitan, blok kemahiran dan komuniti, selain kemudahan sukan serta rekreasi. Selain itu, Ahmad Zahid berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga sudah meluluskan 20 perjawatan baru bagi berkhidmat pusat latihan itu. Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perjawatan baharu diluluskan tanpa tukar ganti membabitkkan pelbagai gred dalam perkhidmatan untuk mengurus dan memastikan kelancaran operasi pusat latihan itu. "Seramai 84,071 Orang Asli berada di Pahang dan jumlah tertinggi di Malaysia. "Justeru, kewujudan Pusat Latihan ini bukan sekadar bangunan tetapi menjadi mercu tanda baharu dan membuka pintu harapan kepada anak-anak muda Orang Asli," katanya. Beliau juga berkata, melalui JAKOA, pelbagai inisiatif dilaksanakan demi kesejahteraan masyarakat Orang Asli antaranya menaik taraf Pusat Transit Kuala Lipis, membina jalan perhubungan desa dari Kampung Orang Asli Simoi Lama ke Pos Lenjang, Lipis, serta pembinaan jambatan baharu di Kampung Orang Asli Sungai Gabong, Bentong. Di seluruh Semenanjung pula, JAKOA membina 28 tabika baharu untuk anak Orang Asli, mewartakan lebih 30 kampung, melaksanakan 258 projek bekalan air terawat, selain menyediakan 812 projek infrastruktur dan ameniti sosial, termasuk 236 projek menaik taraf, membaik pulih serta menyelenggara jalan raya di kampung Orang Asli. "Ini hanyalah permulaan sebuah perjalanan panjang dengan tujuan hanya satu bagi memastikan komuniti Orang Asli terus terbela, terjamin hak mereka dan terbuka luas jalan masa depan untuk generasi yang akan datang," katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035