|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| TEMERLOH: Polis menahan enam lelaki disyaki terbabit mencuri kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di tiga daerah di Pahang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata turut ditahan dua lelaki pengusaha dan pekerja syarikat barang lusuh di Kuala Lumpur disyaki membeli hampir 5,000 meter kabel projek terbabit yang dicuri.
Menurutnya, anggaran berat kabel dicuri mencecah satu tan dan kos rampasan bernilai RM825,000.
Katanya, semua suspek ditahan berusia antara 29 dan 45 tahun dipercayai anggota dua kumpulan dikenali 'Geng Musang' dan 'Geng Jep' disyaki aktif mencuri kabel projek ECRL di sekitar Pahang sejak Ogos lalu.
"Polis menerima enam laporan kecurian kabel projek itu sepanjang hampir 5,000 meter antara 30 Ogos dan 13 September lalu membabitkan kes di Kuantan, Temerloh dan Bentong.
"Susulan itu, polis menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes itu dan hasilnya menahan lima ahli Geng Musang dan seorang ahli Geng Jep antara 10 dan 14 September di Temerloh, Bentong dan Kuala Lumpur.
"Empat lagi suspek termasuk dua lelaki warga Kemboja dan ketua Geng Musang sedang diburu," katanya pada sidang media di Balai Polis Lanchang, di sini, hari ini.
Yahaya berkata, susulan penahanan semua suspek polis merampas pelbagai alatan digunakan mereka ketika mencuri kabel termasuk alat pemotong kabel.
Menurutnya, suspek menjual semua hasil curi mereka kepada pemilik kedai barang lusuh di Kuala Lumpur.
"Mereka jual kabel tembaga itu antara RM25 dan RM39 sekilogram," katanya.
Yahaya berkata, semua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah kini direman hingga esok untuk membantu siasatan.
Menurutnya, enam suspek disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana kanun melakukan khianat ke atas kabel.
Pekerja dan pemilik kedai barang lusuh disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi.
Menurut Yahaya, polis juga sudah berbincang dengan kontraktor projek ECRL dan menasihatkan syarikat terbabit meningkatkan tahap keselamatan di sepanjang laluan kereta api merentasi Pahang sejauh 258 kilometer.
Sebelum ini, syarikat pembinaan projek mega itu, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) mengesan kabel sepanjang 1,080 meter di jajaran Temerloh dan Lanchang serta 599 meter di jajaran Lanchang dan Bentong dicuri dalam tempoh hanya dua minggu.
Syarikat terbabit berkata, kejadian itu menyebabkan kerosakan serius terhadap infrastruktur rel dan berpotensi menjejaskan jadual penyiapan projek nasional itu. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |