|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| KUANTAN: Seorang guru wanita berusia 42 tahun kerugian RM340,500 selepas diperdaya suspek menyamar wakil insurans, pegawai polis dan pendakwa raya pada April lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan polis diterima semalam, mangsa dikatakan menerima panggilan telefon daripada suspek pada 27 April lalu.
Katanya, suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram sebelum diarahkan menyediakan wang ikat jamin.
"Mangsa kemudian diarahkan suspek untuk membuka akaun bank baharu dan menukar nombor telefon yang didaftarkan. Akibat terpedaya, mangsa membuat pinjaman peribadi berjumlah lebih RM280,000 dan turut menggadaikan barang kemas.
"Bagi tempoh 15 Julai hingga 15 September lalu, mangsa melakukan 13 transaksi pemindahan wang kepada lapan akaun berbeza membabitkan RM117,000.
"Semakan penyata bank semalam mendapati, 24 transaksi tidak sah berjumlah RM223,500 dalam akaun simpanan mangsa yang dipercayai dilakukan sindiket selepas memperoleh akses.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk membuat semakan segera dengan pihak polis atau agensi kerajaan yang berkenaan untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
Katanya, masyarakat juga diingatkan membuat semakan nombor akaun diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi.
"Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |