|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| BENTONG: Kegembiraan tiga beranak menikmati cuti di tapak perkhemahan Pulau Santap, Janda Baik di sini, bertukar duka apabila seorang maut selepas khemah mereka dihempap pokok besar setinggi kira-kira 15 meter, hari ini.
Suri rumah, Herini Muhammad Ali, 38, dari Kampung Olak Lempit, Banting, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Suaminya yang juga seorang anggota polis, Saidi Long, 43, dan anak mereka, Muhammad Iman Syahfie, 7, cedera termasuk patah bahu serta tulang rusuk.
Difahamkan, mereka berkhemah sejak Isnin lalu dan dijangka pulang hari ini.
Menceritakan detik cemas itu, Saidi yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkata, kejadian berlaku ketika mereka sedang tidur sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.
"Sebelum itu, cuaca elok dan tiada hujan. Bagaimanapun tiba-tiba, saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum pokok tumbang menghempap khemah.
"Anak terus menjerit, saya cedera dan isteri pula dilihat tidak sedarkan diri," katanya.
Susulan itu, beliau berkata, rakan bersama pengunjung lain segera membantu memotong dahan serta menarik mereka keluar dari khemah sebelum dibawa ke hospital, namun isterinya disahkan meninggal dunia.
Sementara itu ibu mangsa, Jumirah Wahid, 65, berkata Herini yang juga anak ketiga daripada enam beradik menghidap penyakit tiroid yang memerlukan arwah mengawal tekanan emosi serta banyak berehat.
"Sebelum kejadian, arwah nampak ceria seperti biasa, malah sempat menyediakan juadah karipap serta donat untuk adiknya. Tidak sangka pula itu pengakhiran hidup arwah," katanya.
Jumirah berkata, pemergian Herini adalah satu lagi dugaan besar dihadapi keluarganya selepas suami beliau meninggal dunia pada 2023, selain kehilangan cucu sulung pada Ogos lalu.
Beliau berkata, arwah pernah berpesan mahu ahli keluarga memakai baju hitam pada Aidilfitri tahun depan sebagai memperingati kematian dalam keluarga, dan tidak disangka ia menjadi petanda terakhir.
Jenazah Herini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Olak Lempit berhampiran rumah keluarganya, hari ini.
Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 7.56 pagi tadi.
"Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikerahkan ke lokasi sebelum mendapati sebuah khemah dihempap pokok besar.
"Tiga mangsa ditemui dengan seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia," katanya.
|
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |