Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Sultan Pahang berkenan kurnia rumah Ru'RASA kepada 50 penerima
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :19 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA) di Kampung Paya Luas di sini. Menurut hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini, keberangkatan tiba baginda pada 12.20 tengah hari dengan memandu sendiri, diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Menurut hantaran itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyerahkan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA) kepada 50 penerima melibatkan penduduk dari Temerloh, Bera, Jerantut dan Maran. Baginda menzahirkan harapan agar pemberian rumah Ru'RASA atau apa sahaja jenis rumah yang diusahakan kerajaan negeri untuk rakyat dihargai dengan sebaik mungkin. "Jadikanlah rumah yang diterima ini seperti syurga untuk berteduh bersama keluarga. Rumah ini untuk penerima dan anak cucu tinggal di situ buat selamanya, jangan cepat fikir perkara yang tidak baik.   "Jaga rumah ini sebaik mungkin, jadikan ia sebagai tempat untuk menunaikan ibadah dengan selesa," titah baginda. Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya inisiatif perumahan seperti Ru'RASA diperluas kepada semua kaum kerana mereka juga merupakan rakyat Pahang. Selain itu, baginda bertitah supaya isu bekalan air yang masih dihadapi rakyat di kampung tradisional serta perkampungan Orang Asli diberi perhatian segera dan tidak hanya menumpukan kepada projek sedang berjalan. "Saya harap masalah air ini dapat diselesaikan secara berkesan. Dalam masa terdekat saya mahu taklimat terperinci di pejabat saya mengenai projek bekalan air untuk saya lihat sendiri. Kali ini saya mahu melihat dengan lebih dekat projek sedang dijalankan di seluruh daerah di negeri Pahang," titah baginda. – BERNAMA
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035