|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| PEKAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika mencari etok di Sungai Pahang, berhampiran Kampung Bukit Kenau di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud, berkata insiden berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa, Mohd Zainureen Abd Rashid, 45, mencari kerang sungai itu bersama empat ahli keluarga.
Katanya, lima anggota dari BBP Peramu bergegas ke lokasi sebaik saja menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 6.18 petang.
Berdasarkan keterangan saksi, beliau berkata, mangsa mencari etok di tempat cetek tetapi dipercayai tenggelam selepas termasuk ke kawasan lubuk di Sungai Pahang.
"Mangsa dilaporkan terkapai-kapai dibawa arus sebelum hilang," katanya.
Beliau berkata, ahli keluarga mangsa yang turut mencari kerang di lokasi berkenaan dikata cuba menyelamatkan lelaki itu tetapi gagal.
"Berdasarkan keterangan penduduk, lokasi kejadian adalah bekas tapak lombong pasir.
"Paras kedalaman sungai di lokasi mangsa dilaporkan hilang, dianggarkan lebih dua meter," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditangguhkan pada jam 7.30 malam tadi dan akan disambung semula pagi ini. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |