|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| MARAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, perjuangan menentang dadah perlu dijadikan jihad besar demi menyelamatkan maruah umat dan masa depan negeri.
Baginda bertitah, dadah bukan lagi masalah individu, tetapi musibah yang meruntuhkan keluarga, merosakkan masyarakat dan menghalang kemajuan negeri serta negara.
"Tiada bencana lebih dahsyat selain melihat anak bangsa diperhambakan najis dadah. Perjuangan ini mesti dianggap jihad besar demi mempertahankan maruah umat," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Jelajah Pahang Teguh Dadah Perkawalan 2025 sempena Sambutan Hari Antidadah Peringkat Pahang di Dewan Balora Mastika, Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, hari ini.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan kebimbangan apabila rekod sehingga Julai lalu menunjukkan seramai 1,317 penagih atau 31.32 peratus daripada keseluruhan penagih di Pahang berasal dari tanah rancangan FELDA.
"FELDA asalnya lambang kejayaan negara, jangan biarkan ia jadi lubuk dadah.
"Jadi, pemimpin FELDA mesti turun padang, jangan hanya sibuk mengejar keuntungan dan politik semata-mata," titah baginda.
Baginda turut mengingatkan ancaman sempadan tidak boleh dipandang ringan kerana Pantai Timur menjadi laluan sindiket antarabangsa menyeludup dadah menggunakan bot nelayan, kapal dagang dan perahu kecil.
Titah baginda, kerjasama antara agensi maritim, polis dan tentera laut perlu diperkukuhkan supaya lautan serta pesisir pantai tidak menjadi pintu masuk racun negara.
"Selain itu, gejala vape juga dianggap 'api dalam sekam' termasuk kemunculan vape mushroom mengandungi bahan psikotropik.
"Atas dasar itu, Pahang memperkenalkan fatwa pengharaman vape secara total membabitkan penggunaan, penjualan dan pengedarannya," titah baginda.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bangga melihat kehadiran lebih 500 bekas penagih yang sudah pulih.
"Setiap langkah ke arah pemulihan adalah kemenangan. Jangan sesekali menoleh ke belakang kerana setiap insan wajar diberi peluang kedua.
"Ibu bapa perlu menjadi benteng pertama melindungi anak daripada pengaruh dadah, manakala pihak berkuasa pula memperkukuh usaha pencegahan secara kolektif," titah baginda. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |