Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Khirrul Nirwan Bahaudin
Title :134,916 penagih dadah direkodkan di seluruh negara sehingga Jun lalu, ia membimbangkan
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :20 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
MARAN: Seramai 134,916 penagih dan penyalahguna dadah direkodkan di seluruh negara setakat Jun lalu sekali gus menunjukkan ancaman dadah semakin serius dan membimbangkan. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata data itu memberi gambaran jelas bahawa isu dadah bukan masalah kecil sebaliknya satu ancaman besar terhadap kestabilan sosial dan ekonomi negara. "Di Pahang sahaja, dalam tempoh sama, seramai 9,452 penagih direkodkan dengan kadar penagihan bersamaan 567 orang bagi setiap 100,000 penduduk. Kebanyakan penagih membabitkan golongan muda berusia 15 hingga 35 tahun," katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) 2025 yang disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Saifuddin berkata dadah jenis sintetik seperti methamphetamine dan ketamin kekal menjadi pilihan utama penagih berbanding dadah tradisional dengan penyebarannya semakin meluas. Katanya, keadaan di kawasan FELDA di Pahang turut membimbangkan apabila faktor seperti kurang aktiviti sosial berfaedah, pengabaian aspek pendidikan dan kelemahan pengawasan komuniti menjadikan kawasan itu lebih terdedah kepada masalah dadah. "Ketika ini seramai 53,800 klien sedang menjalani rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah seluruh negara manakala 1,917 lagi menerima rawatan di pusat pemulihan persendirian," katanya. Saifuddin berkata kerajaan tidak mampu bergerak sendirian dalam usaha membanteras dadah sebaliknya ia perlu dilaksanakan secara kolektif dengan kerjasama kerajaan negeri, agensi berkaitan dan masyarakat. Katanya, kerajaan Persekutuan melalui AADK memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu penguatkuasaan, pencegahan, rawatan serta pemulihan berperikemanusiaan.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035