|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| ARAU: Dengan menunggang motosikal membawa bersama baldi dan beg galas, seorang anak muda menempuh perjalanan lebih lapan jam dari Sepang ke Perlis demi mengejar cita-cita.
Itulah pengorbanan Muhammad Zahirul Hakim Zali, 22, yang mendaftar sebagai pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Teknologi Robotik dan Automasi) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Anak sulung enam beradik itu berkata, perjalanan sejauh lebih 500 kilometer bukan sekadar memenuhi rutin sesi pendaftaran, malah melambangkan tekadnya untuk mengubah nasib keluarga.
"Naik bas atau tren ETS memang selesa, tetapi kosnya mencecah RM100 sehala. Kalau bawa motor, cuma sekitar RM30.
"Saya tak mahu susahkan mak ayah kerana mereka juga perlu tanggung adik-adik yang lain," katanya ketika ditemui pada Hari Pendaftaran Program Minggu Suai Kenal (MSK) Sidang Akademik 2025/2026 di UniMAP Kampus Alam Pauh Putra, di sini, hari ini.
Menurutnya, ini bukan kali pertama dia menunggang motosikal dari Sepang ke Perlis, kerana sudah biasa berulang-alik ketika mengikuti pengajian di peringkat diploma sebelum ini.
"Saya lebih selesa 'travel' waktu malam kerana cuaca lebih sejuk, jalan pun tak sesak.
"Kali ini saya tunggang seorang diri, tak banyak berhenti rehat pun. Lebuhraya PLUS dah macam rumah kedua setiap kali balik kampung atau ke kampus," katanya.
Walaupun mengakui perjalanan itu agak mencabar, Muhammad Zahirul berkata bapanya pada awalnya keberatan membenarkan dia merentas negeri seorang diri menaiki motosikal.
"Tapi lepas tengok disiplin saya dan cara tunggangan yang berhemah, barulah ayah beri keizinan.
"Saya bukan jenis rempit, saya ikut lorong yang betul dan patuhi undang-undang jalan raya. Yang penting, selamat sampai," katanya.
Katanya, segala kepayahan yang ditempuh itu berbaloi apabila akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke UniMAP dalam usaha mengejar impian dalam bidang kejuruteraan robotik dan automasi.
"Kali terakhir saya berhenti pun cuma di R&R Gurun awal pagi tadi sebelum teruskan perjalanan ke sini tanpa henti.
"Jangan takut untuk mencuba, tapi jangan pula leka bila dah selesa," pesannya kepada rakan-rakan sebaya.
Terdahulu, ketibaan Muhammad Zahirul sekitar jam 8.15 pagi disambut Naib Canselor UniMAP, Datuk Dr Zaliman Sauli, yang menunggu di pintu masuk utama kampus.
Zaliman berkata, seramai 2,779 pelajar baharu program Ijazah Sarjana Muda telah mendaftar sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Sesi Akademik 2025/2026 di UniMAP Kampus Alam Pauh Putra, hari ini. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |