Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
UMPSA
Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Nik Amirulmumin Nik Min
Title :UMPSA realisasi impian pelajar kurang mampu masuk universiti
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :28 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN – Keterujaan Muhammad Afiq Danial Arifin, 20, menerima tawaran pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tidak bertahan lama apabila dia terpaksa membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut memandangkan keluarganya tidak berkemampuan. Impiannya untuk melanjutkan pengajian di universiti yang hampir terkubur itu bagaimanapun mendapat sinar baharu hasil usaha seorang guru sehingga nasibnya mendapat perhatian serta bantuan daripada pihak UMPSA. UMPSA segera menghulurkan bantuan dengan menawarkan pelajar dari Kampung Bukit Berangan, Kuala Nerus, Terengganu itu Biasiswa Sulung dan Insentif Bantuan Pendidikan Yayasan Perkasa Siswa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Tanpa persiapan rapi, Muhammad Afiq Danial yang ditawarkan pengajian Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik dengan Kepujian, akhirnya hadir mendaftar di UMPSA Pekan ditemani ayahnya, Arifin Abu Bakar, 60, dan ibunya, Wok Awang, 59, pada Sabtu. Sementara itu, Wok bersyukur apabila anak tunggalnya itu berjaya melanjutkan pengajian ke universiti, apatah lagi dimaklumkan bahawa dia dapat belajar secara percuma sepanjang tempoh pengajian. “Syukur alhamdulillah, satu-satunya anak saya ini berjaya masuk universiti. "Keprihatinan guru Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Muhammad Azam Md Nor banyak membantu Muhammad Afiq Danial sebaik dimaklumkan menerima tawaran melanjutkan pengajian di UMPSA,” ujarnya sambil mengesat air mata kegembiraan. Turut hadir menyantuni pelajar itu ialah Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias. Beliau turut menyampaikan insentif bantuan pendidikan Yayasan Perkasa Siswa KPT, Biasiswa Sulung dan sebuah komputer riba kepada Muhammad Afiq serta pelajar-pelajar berkeperluan lain. Dr Yatimah berkata, Biasiswa Sulung menawarkan pengecualian yuran kepada individu pertama dalam kalangan keluarga B40 yang belum mempunyai ahli keluarga yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti awam. Menurutnya, pihak universiti dan Yayasan UMPSA sentiasa menghulurkan bantuan kepada pelajar berkeperluan bagi meringankan beban mereka, terutamanya di awal pengajian semasa melangkah masuk ke menara gading. Pada majlis itu, Dr Yatimah turut menyantuni pelajar orang kurang upaya (OKU), Nur Aliya Sakinah Saifol Rasli, 21, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mendaftar bagi sesi akademik kali ini. Nur Aliya yang mempunyai masalah pendengaran bersyukur apabila ditempatkan bersama sepupunya, Nur Syaza Ainaa Mohamad Nahar, 19, sebagai rakan pendamping (KARiB). Lepasan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dengan pencapaian CGPA 3.78 itu bakal melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian. Seramai 2,313 pelajar mula mendaftar pada Sabtu di kedua-dua kampus melalui kaedah pandu lalu bagi memudahkan urusan pelajar dan keluarga.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035