|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| SEREMBAN - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan membantu seorang anak yatim, Muhammad Firdaus Abdullah, 19 yang bakal melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah (Kepujian) di institusi itu hujung bulan ini.
Pelajar tersebut, yang berasal dari Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra, Sungai Petani, Kedah, akan dibantu sepenuhnya oleh Pusat Wakaf dan Zakat USIM termasuk penyediaan kelengkapan pengajian, pengangkutan, penempatan serta yuran pendaftaran.
Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu pelajar berkenaan yang sebelum ini tular memohon rayuan sumbangan orang ramai bagi menyambung pengajian ke menara gading.
“Saya sendiri menghubungi pihak rumah anak yatim selepas mengetahui situasi beliau. Melalui dana Pusat Wakaf dan Zakat, kita akan bantu beliau dalam urusan pendaftaran, menyediakan barangan keperluan dan memastikan beliau sampai ke kampus serta mempunyai tempat tinggal yang selesa,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan rayuan daripada pertubuhan berkenaan yang memohon sumbangan orang ramai bagi membantu Muhammad Firdaus menjejakkan kaki ke menara gading.
Bendahari pertubuhan itu, Mohd Nurfarhan Sobri, berkata, segala kos termasuk keperluan pengajian, pembelian peralatan belajar dan kelengkapan diri bergantung sepenuhnya kepada dana rumah kebajikan tersebut.
Muhammad Firdaus, yang sebelum ini menuntut di Sekolah Menengah Agama Daris dan seterusnya menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), telah menerima tawaran ke USIM dan dijadual mendaftar pada 24 September ini.
Dalam pada itu, Sharifudin menyeru agar lebih ramai pelajar yang berada dalam kesukaran tampil memohon bantuan kewangan melalui saluran rasmi disediakan.
“Mana-mana pelajar baharu atau lama yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Wakaf dan Zakat USIM atau Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP).
“Mereka boleh menghubungi kami menerusi emel infozakat@usim.edu.my atau talian 06-7980240 atau 06-7986151 atau 06-7986160,” katanya lagi.
Katanya, pada tahun lalu, Pusat Wakaf dan Zakat USIM telah mengagihkan lebih RM3.12 juta bagi membantu keperluan pengajaran dan pembelajaran pelajar, termasuk kebajikan, kesihatan serta yuran pengajian melalui dana zakat, wakaf, endowmen dan infak. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |