Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Norafiza Jaafar
Title :Graduan tampil unik dengan telepok, bangga angkat budaya Minang
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :14 September 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SEREMBAN - Seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media (Kepujian) Penyiaran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau mencuri tumpuan apabila mengenakan telepok, sejenis aksesori kepala tradisional wanita Minangkabau pada majlis konvokesyennya baru-baru ini. Graduan berkenaan, Nor Shafiqah Mohd Ghazali, 24, yang juga anak jati Kuala Pilah berkata, pemilihan telepok itu dibuat sebagai simbolik penghargaan kepada ibu bapanya yang berasal dari Negeri Sembilan serta untuk mengangkat keunikan budaya Adat Perpatih. “Saya membesar dengan adat ini, jadi saya mahu abadikan momen menerima ijazah kelas pertama ini dengan sesuatu yang mencerminkan identiti negeri beradat. “Telepok bukan sekadar hiasan kepala, tetapi lambang budaya dan warisan wanita Minang suatu ketika dahulu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Nor Shafiqah yang kini bertugas sebagai wartawan sambilan di sebuah akhbar tempatan berkata, dia tidak menyangka gambar majlis graduasinya yang dimuat naik ke TikTok menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen. “Saya sebenarnya sekadar suka-suka berkongsi, tak sangka ramai yang suka, ada yang memuji kerana saya tidak lupakan budaya adat pepatih “Ada juga yang siap ‘add to favourite’ sebagai inspirasi untuk konvokesyen mereka nanti. Tidak kurang juga juga yang mesej ucap terima kasih sebab dapat idea pakai telepok untuk hari graduasi mereka nanti,” katanya. Bercerita lanjut katanya, idea pemakaian telepok itu tercetus bagi mengangkat budaya negeri dan turut direalisasikan oleh rakannya yang juga jurugambar bagi sesi fotografi graduasi tersebut.  “Rakan saya bantu susun prop dan ambil gambar. Memang dari awal saya nak hasilkan sesuatu yang berbeza dan bermakna. “Sebagai pelajar UiTM Rembau, kampus yang terletak di tengah-tengah Negeri Sembilan, pemilihan elemen budaya ini dirasakan amat sesuai dan tepat pada waktunya. “Saya harap lebih ramai anak Negeri Sembilan bangga dengan budaya kita. Walaupun zaman moden, kita tetap boleh tonjolkan warisan negeri dalam cara yang kreatif dan sopan,” katanya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035