Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Bernama
Title :Tiada pihak harus ganggu-gugat peranan asal UiTM - Tengku Permaisuri Selangor
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :03/09/2025 13:30 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, bertitah agar tiada mana-mana pihak mengganggu-gugat kedudukan serta peranan asal Universiti Teknologi MARA (UiTM). Selaku Pro-Canselor UiTM, baginda bertitah bahawa universiti tersebut mempunyai sejarah istimewa, khususnya dalam membina kecemerlangan dan jati diri bangsa Melayu serta bumiputera menerusi pendidikan tinggi. "Penubuhan dan pembentukan UiTM dalam melindungi hak orang Melayu, Orang Asli serta anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak yang selari dengan Akta 173 (1A), menurut Peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, akan terus dipelihara dengan utuh. "Justeru, saya berharap agar tiada mana-mana pihak mengganggu-gugat kedudukan dan peranan asal universiti ini," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 Sidang Pertama di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini, hari ini. Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor berkenan mengurniakan ijazah sarjana kepada 237 graduan pascasiswazah bagi peringkat Doktor Falsafah dan Sarjana Kepakaran Klinikal hari ini. Turut hadir Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin. Baginda turut menzahirkan titah peringatan kepada generasi muda, khususnya para graduan, agar tidak pernah berasa jemu untuk terus menuntut ilmu meskipun setelah menamatkan pengajian. "Pendidikan hendaklah sentiasa dijadikan agenda utama negara, yang wajib diperkasa bersesuaian dengan kehendak zaman dan keperluan masyarakat. Pendidikan bukan sekadar untuk melahirkan tenaga kerja, tetapi juga untuk membina insan berakhlak mulia serta berjiwa merdeka," titah baginda. Tengku Permaisuri Norashikin turut berpesan agar keterbukaan dalam berkongsi maklumat di media sosial, diurus dengan bijak bagi mengelakkan fitnah, berita palsu dan perbalahan yang boleh menggugat keharmonian negara. Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus memelihara keharmonian serta menyanjung keamanan, kemakmuran dan hasil pembangunan yang telah diusahakan bersama. "Ibarat sebuah rumah yang kita dirikan dengan jerih payah sendiri, jika roboh, kita jugalah yang kehilangan tempat berteduh. Begitu juga dengan tanah air ini, kita perlu sayang dan kita perlu hargai. Justeru, sama-samalah kita pelihara dan pertahankannya," titah baginda. Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan tahniah kepada 24,643 graduan yang menamatkan pengajian mereka sempena konvokesyen kali ini. Baginda turut mengucapkan tahniah kepada pensyarah Fakulti Sains Gunaan UiTM Dr Ahmad Sazali Hamzah atas penganugerahan gelaran Profesor Emeritus serta dedikasinya dalam memperkasa pendidikan, penyelidikan dan memartabatkan UiTM di persada antarabangsa. Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 di DATC berlangsung bermula hari ini sehingga 20 Sept 2025, 17 hingga 18 Sept 2025 di UiTM cawangan Sarawak kampus Samarahan, dan 8 hingga 9 Okt 2025 di UiTM cawangan Sabah kampus Kota Kinabalu. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035