Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :Hubungan erat pelbagai kaum, agama aset berharga negara - MB Pahang
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :14/08/2025 20:30 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Hubungan erat antara masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan aset berharga yang bukan sekadar simbol kemerdekaan, tetapi lambang keamanan dan kesejahteraan negara. Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sehubungan itu, semua pihak diseru supaya mengelakkan perpecahan yang hanya akan merugikan selain jangan membiarkan perbezaan pandangan memutuskan silaturahim, apatah lagi mencetuskan permusuhan. "Semangat kebangsaan ini menuntut kita untuk terus mempertahankan keharmonian kaum yang telah kita bina selama ini. Kita perlu menolak sekeras-kerasnya permainan persepsi, fitnah dan tohmahan yang sengaja ditiupkan untuk memecah-belahkan rakyat. "Perkara ini bukan sahaja menghakis kepercayaan sesama kita, malah akan menyebabkan rakyat tidak bersatu, menimbulkan permusuhan dan menggugat kestabilan negeri serta negara," katanya dalam ucapan penangguhan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. Wan Rosdy berkata semua pihak turut disarankan supaya mengisi kemerdekaan dengan semangat toleransi, sikap saling memahami dan keinginan untuk membina masa depan bersama yang lebih gemilang. "Saya mengajak semua Ahli Yang Berhormat serta seluruh rakyat Pahang untuk kita bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga bebas daripada belenggu kebencian, syak wasangka dan perpecahan," katanya. Sementara itu, Wan Rosdy ketika ditemui pemberita menyifatkan belanjawan tambahan Pahang yang diluluskan dalam persidangan DUN hari ini merupakan antara yang terendah sejak 2022. Beliau berkata belanjawan tambahan RM141 juta itu merangkumi tujuh perkara antaranya melibatkan kenaikan gaji penjawat awam dan bayaran pencen pesara kerajaan. "Ini adalah perkara wajib yang memang tidak dapat dielakkan. Kerajaan negeri perlu membuat bayaran ini. Bajet tambahan ini adalah proses biasa yang setiap negeri ataupun kerajaan pasti buat untuk perkara-perkara yang di luar jangka," katanya. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035