Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Nik Amirulmumin Nik Min
Title :Kampung Kuala Tahan dipilih kampung angkat Madani Perhilitan, perkukuh usaha konservasi dan komuniti
Faculty :Sinar Harian
Year of Publication :30 Oktober 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN- Kampung Kuala Tahan, Jerantut dipilih sebagai Kampung Angkat Madani 2025 di bawah seliaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Pemilihan kampung itu mengambil kira kedudukannya berhampiran dengan Taman Negara Pahang, Kuala Tahan yang kaya dengan khazanah biodiversiti serta menjadi sumber tarikan ekopelancongan. Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, melalui program kampung angkat itu, Perhilitan berhasrat memperkukuh kerjasama dengan komuniti setempat dalam aspek pendidikan dan kesedaran konservasi, peningkatan ekonomi komuniti dan tanggungjawab sosial madani. "Selain membantu memberi pendedahan mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan liar, mengurangkan konflik manusia-hidupan liar serta menggalakkan aktiviti mesra alam, kami juga menggalakkan penduduk setempat terlibat dalam aktiviti ekopelancongan berasaskan komuniti yang mampan," katanya melalui kenyataan pada Khamis. Beliau sebelum itu hadir menyempurnakan Program Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani Tahun 2025 di Kompleks Letak Kereta Kuala Tahan Pahang. Abdul Kadir berkata, terdapat sembilan projek utama yang telah dilaksanakan berdasarkan keperluan penduduk kampung antaranya baik pulih dan menaik taraf kemudahan masjid, tanah perkuburan, gelanggang futsal dan sumbangan van jenazah. Jelasnya, program Kampung Angkat Madani satu inisiatif kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dalam aspek menyediakan kemudahan asas yang diperlukan. "Pendekatan 'whole of nation' yang digerakkan dalam kampung angkat Madani memberi peluang penjawat awam pelbagai kementerian dan agensi untuk turun padang secara langsung, sekali gus mengubah cara kerajaan berinteraksi dengan rakyat selain mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat. "Jabatan Perhilitan juga komited memastikan usaha konservasi dapat digerakkan bersama komuniti supaya khazanah alam semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang. "Kami percaya pendekatan ini akan mewujudkan keseimbangan antara kelestarian alam sekitar dengan pembangunan komuniti selaras dengan agenda nasional Malaysia Madani," ujarnya.
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035