Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Sinar Harian
Title :Pendaki maut: Dua malim gunung digantung tugas
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :21/10/2025 16:00 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan menjalankan siasatan menyeluruh bersama pelbagai agensi berkaitan bagi meneliti punca sebenar tragedi kematian seorang pendaki, Mustaqqeem Mansor, 34, di Gunung Liang, Perak, Khamis lalu. Timbalan Pengarah Pembangunan jabatan itu, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, pertemuan awal sudah diadakan dan laporan lengkap akan dibentangkan kepada Ketua Pengarah Perhutanan Malaysia untuk tindakan lanjut. Menurutnya, semua pihak yang terbabit termasuk pendaki, penganjur serta malim gunung yang mengiringi kumpulan berkenaan akan dipanggil bagi memberi keterangan sebelum sebarang keputusan diambil. “Dua malim gunung terlibat digantung tugas sementara bagi memberi kerjasama kepada semua agensi penyiasat seperti polis, bomba dan jabatan hutan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin. Beliau berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan setiap pihak diberi peluang memberi penjelasan dan bagi mengelak sebarang prejudis terhadap mana-mana individu yang terlibat. Dalam pada itu, Mohd Yussainy yang juga Pengerusi Malim Gunung Perhutanan Malaysia berkata, statistik semasa menunjukkan lebih 200 kes kecemasan pendakian dilaporkan setiap tahun di seluruh negara dengan purata 10 hingga 11 kematian, namun hanya satu atau dua kes melibatkan malim gunung aktif. Katanya, kebanyakan insiden berpunca daripada pendakian tanpa permit sah, kurang persediaan fizikal serta trend baharu pendakian ekstrem termasuk aktiviti mendaki dan berlari di laluan gunung pada waktu malam. “Kita tidak boleh menolak risiko kerana persekitaran gunung sememangnya bahaya. Tapi banyak kes berlaku kerana pendaki tidak ikut prosedur, tidak mohon permit sah atau cuba ubah jadual asal mendaki,” katanya. Tambah beliau, selepas siasatan selesai, Jabatan Perhutanan akan menilai semula keseluruhan prosedur keselamatan, termasuk penggunaan teknologi pengesanan atau cip lokasi bagi memperkukuh sistem pemantauan di laluan gunung berisiko tinggi. “Kita akan tengok dari aspek pengurusan risiko, kelemahan, prosedur dan pelanggaran peraturan yang mungkin berlaku. “Semua itu akan dijadikan asas bagi tindakan pembetulan dan penambahbaikan di peringkat jabatan,”ujarnya. Menurutnya, langkah itu penting bagi menyelesaikan isu sistemik, bukan sekadar mencari kesalahan individu, selain memastikan tragedi seumpama tidak berulang. Polis sebelum ini mengesahkan hasil bedah siasat di Hospital Slim River mendapati Allahyarham Mustaqqeem meninggal dunia akibat hipotermia atau kesejukan melampau. Jenazahnya ditemukan di puncak Gunung Liang pada jam 3.30 petang Khamis dan dibawa turun menggunakan helikopter bomba pada Jumaat. - Sinar Harian  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035