Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :JAIP lupus sembilan tan al-Quran di perairan Kuantan
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :22/10/2025 20:05 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melupuskan 9.1 tan abu teks al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci di kawasan perairan di sini hari ini. Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata program bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dilakukan mengikut syarak dengan abu hasil pembakaran dilepaskan ke laut bagi memastikan kesuciannya terus terpelihara. "Pelupusan (al-Quran) ini adalah antara cara yang diizinkan syarak kerana ia memastikan semua bahagian termasuk bahan bercetak dan kulit luar yang mengandungi unsur plastik turut diurai sepenuhnya," katanya. Asmadi berkata demikian kepada pemberita selepas program pelupusan abu al-Quran di kedudukan enam batu nautika dari Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini, menggunakan KD Terengganu milik TLDM. Beliau berkata bahan pelupusan dikumpulkan melalui JAIP di peringkat daerah serta masjid-masjid sebelum dibawa ke dua pusat pembakaran di Pusat Pemuliaan al-Quran di Pekan dan Kompleks Pemuliaan al-Quran Chenor, Maran. Dalam pada itu, Asmadi berkata pihaknya turut meneliti kaedah pelupusan baharu menggunakan teknologi deinking atau nyahdakwat dengan kajian itu telah diluluskan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) dan juga di peringkat fatwa negeri. "Perkara ini memberi pilihan kepada JAIP jika bersesuaian, kerana sekarang Pahang ada dua pusat pelupusan al-Quran dan bagi kajian kami, kos bagi deinking menelan belanja yang besar. Jika kaedah itu menjadi lebih murah dan praktikal pada masa hadapan, mungkin boleh diguna pakai. "Melalui kaedah kitar semula ini juga, kita tidak benarkan kertas daripada bahan al-Quran digunakan untuk tujuan yang tidak sesuai seperti tisu. Aspek kesucian tetap menjadi keutamaan," katanya. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035