Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Pahang
Main Author :Bernama
Title :RM425 juta disalurkan kepada usahawan, koperasi di Pahang - Ewon
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :01/11/2025 17:02 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
TEMERLOH: Sebanyak 24,592 usahawan dan koperasi di Pahang menerima pembiayaan berbentuk pinjaman serta geran melibatkan dana sebanyak RM425 juta hingga 30 Sept lepas, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick. Beliau berkata pembiayaan berkenaan disalurkan antaranya menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, SME Bank, Bank Rakyat, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), SME Corp dan juga Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). "Sebanyak 674 usahawan pula telah menerima bimbingan dan latihan keusahawanan oleh Institut Keusahawanan Negara selain SME Corp juga telah melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan dengan memberi manfaat kepada 2,205 usahawan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bersama warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi KUSKOP Pahang di sini hari ini. Sebelum ini, Ewon dilaporkan berkata KUSKOP menerusi agensinya telah menyalurkan RM7.96 bilion kepada 282,849 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. Menyentuh mengenai aspek koperasi di Pahang, beliau memaklumkan sebanyak 56 koperasi baharu telah didaftarkan pada tahun ini manakala 10 koperasi telah menerima pembiayaan berjumlah RM9.03 juta di bawah Tabung Modal Pusingan SKM. "Saya sangat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh semua pegawai dan petugas di kementerian dan agensi di Pahang dalam memastikan semua inisiatif serta bantuan kepada usahawan dan koperasi dapat disampaikan dengan berkesan," katanya. Sementara itu, beliau berkata Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2025 yang berlangsung di Lurah Semantan di sini selama tiga hari bermula semalam disasarkan dihadiri lebih 20,000 pengunjung dengan nilai jualan RM1 juta manakala potensi pembiayaan sebanyak RM4 juta. HPPK 2025 menampilkan penyertaan 158 usahawan pelbagai kategori termasuk lapan pengusaha trak makanan, 14 usahawan Anekarasa MADANI dan 30 usahawan Satu Daerah Satu Industri (SDSI). Selain itu, sebanyak 707 penjaja yang beroperasi di Pekan Sehari di sini pada Ahad akan turut digandingkan dengan penyertaan 20 agensi pempamer kerajaan pada peringkat Persekutuan dan negeri. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035