Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Bernama
Title :Tun Musa canselor UMS keempat
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :02/11/2025 16:00 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menerima Watikah Pelantikan sebagai Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Keempat dalam satu majlis berlangsung di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini. Watikah Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim itu, disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir. Ini menyaksikan Tun Musa menyandang jawatan itu untuk tempoh bermula 1 Okt 2025 hingga 31 Dis 2028. Zambry ketika membacakan watikah pengisytiharan pada majlis itu berkata berdasarkan Subseksyen 10(1) Perlembagaan UMS, Canselor hendaklah menjadi ketua universiti. "Canselor (juga) hendaklah mempengerusikan mana-mana konvokesyen universiti," katanya. Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Kasim Mansor. Menurut maklumat media disediakan UMS, pelantikan Tun Musa, 73, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu amat signifikan, dalam mengukuhkan hubungan erat antara kepimpinan negeri Sabah dan dunia akademik. "Ia juga mengangkat imej UMS sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi Malaysia Timur, selain memperkasakan rangkaian kerjasama antara universiti, kerajaan dan industri," menurut maklumat UMS itu. Selain itu, Tun Musa juga menjadi inspirasi kepada warga UMS untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dan negara. Selain Ketua Menteri, Tun Musa juga pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Menteri Kewangan Sabah, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, dan Pro-Canselor UMS. -- BERNAMA  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035