Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Astro Awani
Title :Rumah Ronald McDonald HCTM UKM jadi tempat berteduh dan harapan keluarga pesakit kanak-kanak
Place of Production :Pekan
Faculty :Astro Awani
Year of Publication :04/11/2025 22:30 MYT
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
KUALA LUMPUR: Di sebalik setiap senyuman anak yang menerima rawatan di hospital, tersimpan kisah ketabahan ibu bapa yang berjuang di sisi mereka. Sejak mula beroperasi pada tahun 1999, Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi tempat berteduh dan harapan buat hampir 1,000 keluarga setiap tahun. Terletak dalam kawasan hospital, rumah banglo tiga tingkat itu dilengkapi 18 bilik tidur, dapur, ruang makan, bilik dobi, surau, taman permainan dan mini gymnasium yang memberi keselesaan kepada keluarga pesakit pediatrik untuk terus bersama anak-anak mereka sepanjang rawatan. Menurut Pengurus Besar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), Mohd Nasri Mohd Nordin, inisiatif ini dijayakan melalui sumbangan pelanggan McDonald’s dan pembekal yang terus menyokong misi kebajikan organisasi itu. “Rumah Ronald McDonald merupakan salah satu program kebajikan di bawah Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia yang menerima sokongan berterusan daripada McDonald’s dan para pembekalnya. “Sumbangan pelanggan di tabung merah di hospital serta derma melalui kiosk digital banyak membantu menjayakan inisiatif ini,” katanya. Kajian oleh Persatuan Profesional Kehidupan Kanak-Kanak (ACLP) mendapati sokongan emosi daripada ibu bapa dan pakar kehidupan kanak-kanak membantu pesakit kecil berasa lebih tenang, selamat serta mengurangkan tekanan semasa rawatan. "Setiap kali kami melawat Rumah Ronald McDonald, kami melihat sendiri bagaimana kasih sayang dan keprihatinan dapat membentuk komuniti kecil yang saling menyokong antara satu sama lain,” tambahnya. Timbalan Pengarah (Diagnostik & Sains Kesihatan) Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Datin Dr Anita Sulong, berkata kemudahan seperti Rumah Ronald McDonald memberi impak besar kepada kesejahteraan psikologi keluarga pesakit pediatrik. “Ibu bapa tidak lagi berasa keseorangan ketika menemani anak yang menerima rawatan. Sokongan moral sebegini amat penting, terutama bagi keluarga pesakit kanser yang berdepan tekanan emosi dan beban kewangan. “Dengan adanya kemudahan di sini, mereka bukan sahaja mempunyai tempat berteduh, tetapi juga ruang untuk bertenang dan mendapatkan kekuatan,” ujarnya. Bagi salah seorang ibu yang pernah menginap di sini, Nor Hazwani Harun, pengalaman tersebut amat bermakna ketika anaknya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). “Sebagai ibu bapa, kita perlu memikirkan banyak perkara termasuk kos perjalanan dan perbelanjaan harian. Pernah juga kami terpaksa tidur dalam kereta kerana anak berada di ICU dan kami perlu sentiasa dekat. “Alhamdulillah, selepas dirujuk ke bahagian kebajikan, kami dapat menginap di sini. Ia sangat membantu dan melegakan,” jelasnya Selain HCTM UKM, terdapat tiga lagi Rumah Ronald McDonald di seluruh negara iaitu masing-masing di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah. RMHC Malaysia turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain seperti Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald, program Anugerah Senyuman bagi pembedahan pembetulan kanak-kanak klef bibir dan lelangit, serta Pek Kembali ke Sekolah untuk anak-anak keluarga asnaf dan berpendapatan rendah. Lebih daripada 200,000 kanak-kanak di seluruh Malaysia telah menerima manfaat daripada pelbagai program RMHC Malaysia dalam tempoh lebih tiga dekad, menjadikan organisasi itu sebagai salah satu tonggak penting dalam membantu kanak-kanak yang memerlukan.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035