Koleksi Khas Digital
Start | FAQ | About

QR Code Link :

Type :Newspaper Clipping
Subject :Institusi Pengajian Tinggi
Main Author :Berita Harian
Title :UTeM catat pertambahan pelajar baharu luar biasa sejak 25 tahun penubuhan
Faculty :Berita Harian
Year of Publication :02 Oktober 2025
HTTP Link :Click to view web link
JPG Related Image : Click to view Image file

Full Text :
AYER KEROH: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencatatkan lonjakan luar biasa apabila menerima seramai 3,877 pelajar baharu bagi sesi 2025/2026 untuk mengikuti pelbagai program peringkat ijazah sarjana muda. Majlis penerimaan dan pendaftaran pelajar baharu itu diadakan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM di Durian Tunggal, Melaka baru-baru ini. Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata ini adalah kali pertama universiti berkenaan mencatatkan pertambahan luar biasa dan berterusan sejak ditubuhkan 25 tahun lalu. Katanya, jumlah itu juga adalah tertinggi setakat ini dengan kali terakhir pada tahun lalu iaitu membabitkan seramai 2,896 diikuti 2,530 pada 2023 dan 2,043 (2022). "Secara perbandingan angka bagi 2024 dan 2025 menunjukkan peningkatan mendadak iaitu seramai 981 pelajar bersamaan 34 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Massila mengaitkan peningkatan luar biasa itu dengan kedudukan UTeM sebagai universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Malaysia sekali gus menarik perhatian ramai pemohon dari kalangan lepasan matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma. Selain itu, katanya, ia juga dipengaruhi oleh kedudukan UTeM yang menjadi juara berganda dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) apabila mencapai kadar Kebolehpasaran Graduan 97.7% pada 2023 dan 98.1% (2024). "Pada masa yang sama penawaran bidang pengajian UTeM menepati keperluan dan permintaan semasa industri. Universiti ini adalah penerima Anugerah Universiti Pilihan Majikan (Employers' Choice of University Award), baru-baru ini. "Malah dalam aspek penjagaan kebajikan kepada mahasiswa dan mahasiswi terutamanya kepada golongan B40, UTeM turut tampil membantu menerusi pelbagai skim bantuan," katanya. Mengenai pengambilan baharu kali ini, Massila berkata UTeM menerima kumpulan pelajar sulung bagi dua program di fakulti baharu iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX). Katanya, ia membabitkan seramai 279 pelajar merangkumi 122 bagi mengikuti bidang Sarjana Muda Sains Komputer(Kepintaran Buatan) dengan kepujian manakala 157 lagi bidang Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) dengan kepujian. "Seramai 665 pelajar pula mendaftar untuk mengikuti pengajian program teknologi kejuruteraan dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) manakala 624 di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK). "Selain itu, 653 pelajar lagi mengikuti pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan 396 di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP)," katanya. Massila berkata seramai 647 lagi mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK). Katanya, selebihnya iaitu seramai 613 mendaftar bidang Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT). "Semua pelajar baharu ini mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) selama lima hari sehingga esok bersama 795 pelajar baharu diploma yang mendaftar pengajian pada Ogos lalu," katanya. Sementara itu, Massila berkata kumpulan pelajar baharu menerusi proses rayuan pula dianggarkan seramai 200 orang dijadual mendaftar masuk pada 13 Oktober ini.  
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials.
You may use the digitized material for private study, scholarship, or research.

Back to previous page

Installed and configured by Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
If you have enquiries with this repository, kindly contact us at umplibrary@ump.edu.my or +609 431 5035