|
Koleksi Khas Digital
|
|
| ||||||||||||||||||
| Full Text : |
| NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjadi universiti awam tempatan pertama melancarkan kerangka Kecerdasan Buatan (AI) Syariah, iaitu sebuah ekosistem AI berintegriti yang dibangunkan berpandukan disiplin ilmu Islam serta Maqasid Syariah.
Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani, berkata kerangka AI Syariah itu digarap di bawah pengawasan pakar bidang yang berwibawa.
Katanya, ia dilaksanakan dengan iltizam terhadap prinsip kedaulatan data, keadilan, ketelusan, kebolehjelasan, kawalan kemudaratan serta keterikatan kepada rujukan muktabar yang didahului dengan al-Quran dan al-Sunnah.
"Kerangka ini menegaskan bahawa kecerdasan buatan berperanan sebagai alat sokongan, bukan sebagai pengganti kepada pakar rujuk atau pihak berautoriti agama.
"Ini bermakna penggunaannya haruslah melengkapi, bukan menggantikan, panduan dan keputusan dibuat oleh mereka yang berkelayakan," katanya selepas majlis pelancaran kerangka Kecerdasan Buatan (AI) Syariah di Dewan Tuanku Canselor USIM, di sini, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serentak dengan Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 di tempat yang sama.
Mengulas lanjut, Dr Sharifudin berkata, inisiatif inovatif USIM lain dalam bidang AI termasuk pembangunan ILA Chatbox, iaitu sebuah platform ala-ala ChatGPT yang berkonsepkan Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM.
Beliau berkata, ia menawarkan khidmat masyarakat dalam bentuk konsultasi perundangan secara dalam talian dan diadakan secara percuma.
"Ia merangkumi isu-isu perundangan sivil dan syariah, termasuk hal ehwal pusaka, sekali gus memperluas akses masyarakat kepada ilmu perundangan yang berautoriti," katanya.
Menurutnya, inisiatif berkenaan membuktikan kesungguhan USIM dalam memperkasa penggunaan AI secara beretika, di samping menzahirkan komitmen berterusan universiti untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui penyebaran ilmu yang bermanfaat.
Katanya, USIM komited dalam memastikan program akademik universiti itu terus diperkasakan dengan AI di mana penyelarasan kurikulum pengajian dilaksanakan dengan memasukkan elemen AI dan keusahawanan seperti mana saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Pada masa yang sama, pengukuhan Outcome-Based Education (OBE) terus dititikberatkan bagi memastikan program pengajian bukan sahaja mematuhi piawaian akreditasi, malah memenuhi tuntutan kemahiran masa depan.
"Ia turut merangkumi literasi digital, penyelesaian masalah, komunikasi dan pelbagai kemahiran lain yang relevan," katanya.
Sementara itu, Dr Zambry turut melahirkan sokongan dengan langkah USIM membangunkan AI dan berharap ia dapat mengambil pendekatan dari sudut syariah.
"Saya harap USIM dapat terus membangunkan AI dengan menekankan kepada nilai-nilai syariah sebaik-baiknya," katanya. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |